Lapan Pelajar FGHT Sertai Program Mobiliti di Sydney

Seramai lapan pelajar Sarjana Muda Sains (Pengurusan Harta Tanah) Fakulti Geoinformasi dan Harta Tanah (FGHT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengikuti program mobiliti tindikan penyelidikan selama tiga minggu mulai 2 April lalu di Western Sydney University (WSU), Sydney Australia.

Dekan Fakulti FGHT Profesor Sr Dr. Mohd Razali Mahmud, berkata program kerjasama FGHT dan WSU itu bertujuan melahirkan pelajar yang mampu melaksanakan inovasi penyelidikan yang memiliki keaslian dan novelti yang tinggi.

Menurutnya, selain itu program berkenaan adalah untuk mengembeling bakat pelajar dalam lima teras kecemerlangan antaranya Akademik Nobel dan Kepimpinan yang menjadi misi utama pelajar.

“Keunikan program ini adalah kerana kerjasama padu antara WSU dan FGHT yang telah mendorong fakulti menghantar pelajar dalam usaha menghasilkan inovasi terbaharu, terutama dalam bidang hartanah.

“Program seumpama ini bertujuan untuk dijadikan platform kepada pelajar menjalani pendedahan secara praktikal di peringkat antarabangsa,” katanya.

Profesor Razali berkata, program itu adalah dedikasi pihak UTM sebagai universiti penyelidikan dengan memberi peluang mobiliti bersama rakan strategik di luar negara.

Selain menghadiri kuliah mereka turut menjalankan penyelidikan bersama penyelidik di WSU dan lawatan industri di AMP Capital, Mirvack dan aplikasi Building Information Modelling di Sydney Opera House.